Saya memanjatkan kesyukuran yang tak terhingga kehadrat Allah s.w.t kerana tanpa keizinanNya, PADAT tidak akan bersama - sama dengan tuan puan. PADAT merupakan platform yang diketengahkan bagi menghimpunkan peminat – peminat aktiviti riadah bersama pemunya kenderaan pacuan empat roda dari seluruh daerah Dungun.
Pengujudan PADAT terhasil dari pakatan peminat – peminat aktiviti luaran yang gemar menerokai khazanah alam anugerah Ilahi, dengan bersama bersepakat, bahawa anugerah alam yang dikecapi hari ini adalah elok sekiranya dapat dinikmati bersama dalam bentuk berkumpulan. Manfaat yang diperolehi sudah tentu lebih bermakna berbanding hanya sekelompok kecil sahaja yang mengecapinya.
Singkatan dari Kelab Kebajikan Dan Rekreasi, Peminat Pacuan Empat Roda Dungun, Terengganu yang membawa kepada akronim – PADAT, diharapkan akan membuahkan satu kesepakatan dikalangan ahli – ahli kelab kearah ikatan mahabbah yang tinggi.
PADAT membuka luas penyertaan dan sokongan dari tuan - puan untuk bersama - sama kami membawa satu imej baru diarena kelab pacuan empat roda yang akan merangkumi aspek lahiriah dan ruhiah. Matlamat kami adalah jelas ; beriadah bersama seluruh rakyat Malaysia mengikut aspirasi Islam.
Sebagai lambaian persahabatan, saya mengalu-alukan sokongan dan dokongan dari sekelian rakan taulan untuk bersama - sama membangunkan PADAT ketahap semaksima mungkin. PADAT ingin melihat masyarakat di Terengganu secara khususnya mendukung aspirasi utama kami tanpa batasan etnik dan agama.
Sekian, wassalam.
Wan Mohd Adib Wan Zain
Presiden
Kelab Kebajikan Dan Rrekreasi
Peminat Pacuan Empat Roda Dungun, Terengganu.